KUALA LUMPUR: Institusi latihan komunikasi dan akhbar negara, Malaysian Press Institute (MPI) mengumumkan mula menawarkan kursus-kursus komunikasi dan kandungan  dengan kerjasama bersama Human Resource Development Corporation (HRD Corp).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MPI Chamil Wariya menerusi insiatif ini peserta kursus boleh memanfaatkan dana caruman HRD Corp untuk membiayai kos kursus yang ditawarkan MPI, sekaligus membuka lebih banyak peluang kepada bakat-bakat dalam bidang komunikasi mengembangkan pengetahuan mereka dalam bidang berkenaan,” jelasnya.

“Inisiatif ini membolehkan MPI menikmati pelbagai insentif latihan yang disediakan oleh HRD Corp, termasuk membolehkan peserta menggunakan wang caruman syarikat masing-masing dengan badan pembangunan sumber manusia di negara,” jelas Chamil.

Chamil ditemui selepas majlis penyampaian sijil “Train The Trainer” (T-T-T) HRD Corp melibatkan 13 jurulatih MPI di ibu negara.

Pada majllis berkenaan, MPI turut memperkenalkan 13 HRD Corp Certified yang terdiri daripada tokoh-tokoh wartawan terkemuka dan kotemporari dari pelbagai organisasi media.

“Selepas menerima kelayakan sebagai HRD Corp Certified Trainer, ada antara mereka yang sudah mengajar untuk sebilangan kursus anjuran MPI, antaranya Veena Rusli, Yusanani Yushak, Hilal Azmi, Datuk Mokhtar Hussain,” jelas tokoh wartawan itu lagi.

MPI turut merancang untuk memperkenalkan program master class yang akan dikendalikan oleh nama-nama besar dalam bidang kewartawanan, perhubungan awam dan komunikasi korporat.

BACA: MPI rancang perkenal 'master class', dikendali nama besar bidang kewartawanan

“Antara tokoh-tokoh yang bakal kita tampilkan untuk program master class ini untuk bidang-bidang di mana mereka menyerlah termasuklah Tan Sri Johan Jaaffar (bual bicara TV), Datuk A. Kadir Jasin (penulisan kolum), Dr. T. Selva (pengurusan krisis), Datuk Yong Soo Heong (penulisan bisnes), Premesh Chandran (pengurusan media) , Dr. Prebagaran Jayaraman (pengucapan awam) dan beberapa yang lain.”

“Tokoh-tokoh wartawan antarabangsa juga akan diundang untuk menganjurkan master class MPI ini,” tambahnya.

Maklumat mengenai kursus-kursus yang ditawarkan MPI boleh didapati di www.mpi.my.